20 Dec 2005

Kalau Mahu Senang

Mukadimah
Malam tadi aku call sahabat ku Khalid Salleh minta izin untuk menyiarkan puisi-puisinya dari antologi puisinya Bukan Apa-Apa di blog ini. Alhamdulillah dia izinkan! Terima kasih banyak-banyak Wak... Aku tak pasti di zaman sekarang ni masih ada lagi ke orang yang berminat untuk menghayati puisi??? Meleraikan yang tersirat dari yang tersurat perlukan fikiran yang tajam, perasaan yang halus serta dibantu oleh siri-siri pengalaman yang ditempuhi dalam kehidupan seseorang insan itu. Oleh itu buat permulaan aku paparkan puisi beliau yang berjudul Kalau Mahu Senang.


KALAU MAHU SENANG

aku sedang mencari rumusan
bagaimana buah kelapa bersabut dan bertempurung keras
lepas itu hasilnya akan ku berikan kepada semua orang
supaya mereka jangan makan buah kelapa
setidak-tidaknya untuk beberapa ketika
sebab buah kelapa mengandungi minyak dan air sekali gus

minyak boleh membuat hati manusia menjadi kotor
sebab kenyataannya ramai pesakit darah tinggi dan kencing manis
menjauhi masakan yang mengandungi minyak dan gula

setelah berjaya rumusan itu nanti
barangkali para sarjana akan mengeluarkan sebuah kenyataan
bahawa kencing manis dan darah tinggi bermula dari buah kelapa
sebaiknya untuk mengelakkan
supaya jangan terkena sakit yang membimbangkan itu
setiap keluarga jangan menggunakan kelapa dalam masakannya

aku pun diberi sijil kerana kegigihanku
dalam menyelidiki sebab apa buah kelapa
menjadi buah pertemuan
minyak dan gula serta air
kerana itu
Tuhan memang seni dan bijaksana
sehingga pertemuan kulit dengan isi
tersimpul dalam sebuah biji kelapa
perkara ini memang sangat menakjubkan
tapi sangat jarang yang membuat perhatian terhadapnya

kalau mahu senang
buatlah perumpamaan diri
kenapa mulut dan hati begitu sukar
mengakui adanya pertemuan
dunia dan akhirat di sebalik kekerasan jantung
yang memang menyerupai
bentuk sebiji kelapa.

- Khalid Salleh
Sanggar Karya

1998.

0 comments:

Post a Comment

Thanks for commenting... ;)

What Say You? © 2005 - 2016.